Pontian: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor merampas 40 kotak rokok yang cuba diseludup masuk dari negara jiran di perairan Pontian, di sini, hari ini.
Rampasan dilakukan anggota yang sedang melakukan rondaan menerusi OP Jaksa dan OP Khas Sapu Air (IKSA) 2022 pada 1.30 pagi.
Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria berkata, ketika rondaan pihaknya mengesan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dan kelibat beberapa individu dalam keadaan mencurigakan di pesisir pantai Telok Kerang, di sini.
"Dipercayai empat individu berada di lokasi kejadian yang bertindak melarikan diri dan meninggalkan bot digunakan selepas menyedari kehadiran anggota APMM.
" Hasil pemeriksaan awal, lima kotak mengandungi rokok kretek berada di dalam bot fiber berwarna biru dan enam kotak lagi di tepi pantai, " katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 29 kotak lagi ditemui dalam sebuah kenderaan van Toyota berwarna putih yang berada tidak jauh dari pantai.
Nurul Nizam berkata, kesemua rokok dari pelbagai jenama diseludup dari negara jiran untuk dijual secara haram di negara ini.
Katanya, sebuah bot fiber berserta enjin jenama Yamaha 40 kuasa kuda, sebuah van dan 40 kotak rokok disita sebelum dibawa ke Jeti Maritim Johor Sungai Pulai untuk diserah kepada pegawai penyiasat.
"Rokok yang dirampas bernilai RM456,000 dan keseluruhan rampasan termasuk bot fiber berserta enjin dan sebuah van bernilai anggaran RM 500,000.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967, sebarang maklumat boleh hubungi Pusat Operasi Maritim Johor di talian 07-2199401," katanya.