Beri peluang kepada Anwar tadbir kerajaan, Tun M mungkin lihat pada sejarah-Adly Zahari


ALOR GAJAH: Rakyat perlu memberi peluang serta ruang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mentadbir dan memimpin negara.

Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari yakin dengan kemampuan dan pengalaman yang ada pada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk membawa negara dalam tempoh yang dianggap sukar ketika ini.

"Dengan pengalaman memimpin negara, cabaran sebagai ketua pembangkang dalam tempoh panjang serta cabaran politik yang dihadapi, saya cukup yakin beliau boleh mendepani dan membawa Malaysia ke hadapan.

"Bagi saya tempoh (sekarang) yang sukar juga kerana kita hadapi isu ekonomi dan saya berkeyakinan sepatutnya kita rakyat Malaysia, berikan ruang dan peluang kepada Perdana Menteri (Anwar), paling penting sokongan untuk membawa negara kepada sesuatu yang lebih baik," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, yang khuatir dengan kepimpinan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu mengurus negara.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, sebelum itu menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada dua keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tanah runtuh di Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali.

Beliau berkata, kenyataan dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu mungkin hanya melihat pada sejarah semasa Anwar berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Saya rasa Tun M mungkin melihat pada sejarah tetapi bagi saya yang paling penting berikan peluang kepada Anwar. Waktu itu beliau Timbalan Perdana Menteri sekarang ini Perdana Menteri," katanya.

Sementara itu, Adly berkata, di peringkat kerajaan sama ada kerajaan Persekutuan dan Parlimen menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sedaya upaya akan membantu keluarga mangsa yang terkorban.

"Ia bukan sahaja untuk hari ini tetapi kita tahu pada masa akan datang keluarga ini juga mungkin ada beberapa urusan, jadi kita sentiasa akan jalinkan hubungan supaya mereka dibantu.

"Dalam keadaan sukar ini kita harap mereka bersabar dan dapat teruskan kehidupan seperti biasa," katanya.