Johor tubuh jawatankuasa khas SOP rentas sempadan Malaysia-Singapura


JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sempena pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura nanti, terutama membabitkan pekerja Malaysia yang akan berulang-alik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah, berkata jawatankuasa itu akan ditubuhkan dalam masa terdekat sebagai pemudah cara pelaksanaan SOP rentas sempadan.

"Pagi ini, saya akan bersama semua agensi termasuk Jabatan Sumber Manusia, mendengar dan meneliti apa jua SOP berkaitan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura.

"Ada jawatankuasa khas yang akan diwujudkan untuk mengurus dan melaksanakan SOP bersama Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi berkaitan yang lain," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan berkaitan SOP rentas sempadan sebaik saja ia sudah dimuktamadkan Kerajaan Persekutuan nanti.

"Saya akan memberi kenyataan nanti berkaitan SOP lengkap rentas sempadan bagi membolehkan ia diuar-uarkan dengan lebih meluas," katanya.