APMM tumpas sindiket rokok seludup di Batu Pahat


Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 282,000 batang rokok kretek bernilai RM303,000 di perairan Kuala Batu Pahat, hari ini.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, ia hasil kejayaan selepas bot peronda APMM mengesan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan bergerak laju ke kawasan berkenaan kira-kira jam 1 pagi.

"Sebaik bot ronda menghampiri untuk melakukan pemeriksaan, bot suspek bertindak memecut laju ke arah daratan.

"Ketika mengejar bot berkenaan, kedua-dua suspek dipercayai lelaki warga tempatan bertindak terjun meninggalkan bot seterusya melarikan diri ke arah daratan terhampir," katanya ketika sidang media di Bilik Mesyuarat APMM Zon Maritim Batu Pahat hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot fiber berwarna merah putih tanpa nombor pendaftaran itu menggunakan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda.

"Pemeriksaan lanjut mendapati sebanyak 25 kotak rokok kretek pelbagai jenama dan disyaki tidak bercukai.

"Kesemua rokok disyaki diseludup masuk dari negara jiran Indonesia untuk dijual secara haram dalam negara ini," katanya.

Katanya, kebiasaannya penyeludup akan menunggu air pasang besar untuk melakukan aktiviti kerana memudahkan mereka untuk merapati tebing dan memunggahkan barang-barang seludup sebagai modus operandi mereka.

"Bot fiber beserta sebuah enjin jenama Yamaha 40 kuasa kuda dan 25 kotak rokok dirampas dan ditunda ke Zon Maritim Batu Pahat.

"Kes akan disiasat dibawah Akta Kastam 1967. APMM akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelanggaran undang-undang dapat dibenteras," katanya.