ATV terbabas masuk parit, 2 warga emas maut


Pontian: Dua warga emas berusia 60-an maut selepas dipercayai lemas dalam parit berhampiran Jalan Kampung Seri Gambut di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, dua mangsa berkenaan dikatakan sedang beriadah menaiki kenderaan all-terrain vehicle (ATV) di kawasan terbabit sebelum ia terbabas ke dalam parit berkenaan.

Komander Operasi Hairon Nizam Zainal berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nenas bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.06 petang.



"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati terdapat kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan ATV yang terbabas ke dalam parit berhampiran.

"Terdapat dua orang mangsa iaitu penunggang dan pembonceng kenderaan terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai lemas.

"PKO bertindak mengeluarkan mangsa dan memberikan rawatan awal, namun tiada tindak balas," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.

Katanya, jenazah kedua-dua mangsa itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib ketika dihubungi mengesahkan kemalangan maut berkenaan, namun memaklumkan siasatan masih lagi dijalankan.