Banjir di Johor pulih, PPS terakhir di Segamat ditutup


JOHOR BAHRU: Banjir di Johor pulih sepenuhnya dengan satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini, iaitu di Segamat, ditutup petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan Balai Raya Kampung Batu Badak, Segamat yang dibuka sejak 11 Disember lalu dan menempatkan 32 mangsa daripada 11 keluarga ditutup jam 5 petang tadi.

Katanya, semua mangsa sudah pulang ke kediaman masing-masing di Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5.


"Cuaca dilaporkan cerah di semua daerah setakat jam 5 petang ini," kata JPBN.

Sementara itu, mangsa banjir di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak, Noraina Abd Hamid 31, berkata beliau sekeluarga berharap rumahnya tidak kembali dilanda bencana sama dalam masa terdekat.

"Kita sudah mula mengemas dan membersihkan rumah selepas air surut dan kami sekeluarga reda dengan kejadian dan yang penting ahli keluarga semuanya selamat," kata ibu kepada dua anak lelaki itu ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seberang Batu Badak di sini, hari ini.

Sementara itu, data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan empat sungai berada pada aras waspada iaitu Sungai Muar (Buloh Kasap) dengan ketinggian 8.25 meter (m); Sungai Muar (Kampung Awat) 19.33m; Sungai Sembrong (Empangan Sembrong) 10.05m dan Sungai Ayer Hitam (Kampung Paya Embun) 4.77m.