JOHOR BAHRU: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal yang menarik perhatian media dengan menggelar dirinya sebagai budak gemuk BN ketika membantu berkempen pada pilihan raya umum (PRU) lalu, meninggal dunia jam 8.43 malam semalam.
Mohd Norfirdaus Che Aman, 33, yang gigih membantu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Gudang untuk kempen pilihan raya sejak 14 tahun lalu meninggal dunia selepas bertarung nyawa lebih sebulan akibat terbabit kemalangan jalan raya di Mersing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permas, Baharudin Mohamed Taib menerusi akaun Facebook (fb) menyatakan takziah kepada keluarga Mohd Norfirdaus.
Beliau berkata, mendapat perkhabaran duka bahawa Mohd Norfirdaus atau lebih dikenali sebagai Bob, pulang kepada Pencipta di Hospital Sultan Ismail (HSI).
"Arwah adalah seorang yang amat dikenali kerana suaranya yang lantang dan sentiasa bersemangat dalam perjuangan.
"Tidak kurang juga dengan semangatnya yang sentiasa sudi membantu sesiapa sahaja dan dalam apa juga pertolongan yang diminta.
"Saya teramat berduka cita dengan berita ini dan terasa kehilangannya," katanya.
Mohd Norfirdaus yang memiliki berat badan kira-kira 200 kilogram sebelum ini berkongsi pengalaman berkempen, terutama ketika bertemu dengan pelbagai lapisan pengundi.
Arwah menyatakan sepanjang berkempen dia akan menjalankan kerja mengesahkan risalah, memasang bendera dan mengiringi calon bertanding.
Malah, dia hanya menggunakan kekuatan pada tangan kanan kerana tangan kiri tidak berfungsi secara normal.
Bagaimanapun dia tidak pernah diketepikan oleh rakan ketika berkempen, sebaliknya kehadirannya dialu-alukan kerana dia gemar menghiburkan rakan yang kepenatan.