KUALA LUMPUR: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian COVID-19 di negara itu reda.
Presiden MATA, Datuk Dr Mohd Khalid Harun, berkata lonjakan ketara kes COVID-19 di China, baru-baru ini, meningkatkan lagi potensi risiko kemunculan varian baharu, sekali gus menggusarkan rakyat Malaysia khususnya pemain industri pelancongan.
"Kita sedia maklum bahawa hospital di seluruh China dibelenggu lonjakan kes COVID-19 susulan keputusan negara itu untuk menarik balik peraturan ketat mereka.
"Trauma dihadapi pemain industri pelancongan akibat COVID-19 masih belum pulih. Malah, banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat COVID-19, dengan menanggung kerugian berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun lalu," katanya.
Justeru, Mohd Khalid berkata, perkara sedemikian diharap tidak berulang lagi memandangkan pemain industri pelancongan amat terkesan sebelum ini dan masih dalam proses pemulihan.
Katanya, banyak negara telah memperketatkan kemasukan pelancong atau ahli perniagaan dari China buat masa ini bagi menyekat penularan virus COVID-19.
Beliau turut menasihati pemain industri pelancongan Malaysia supaya mengalihkan sasaran perniagaan mereka kepada pelancong dari Asia Barat dan Eropah tanpa bergantung pada China, buat masa ini.