Empat bekas pemain JDT perkuat Sri Pahang

KUALA LUMPUR: Penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham menjadi dua bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terbaharu menyertai Sri Pahang secara pinjaman bagi saingan musim depan.

Perkara itu diumumkan Sri Pahang di laman Facebook mereka yang mana menjadikan empat bekas pemain Harimau Selatan sudah sah menyertai Tok Gajah selepas Fadhli Shas dan Syazwan Andik Mohd Ishak.

Kelab itu berkata, Izham dibawa masuk untuk memperkasa benteng terakhir dan pemain berusia 31 tahun itu bersedia bersaing untuk merebut posisi nombor satu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Mamadou Samassa.

"Ketenangan dan ketangkasan bekas pemain Harimau Muda yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2011 ini di gawang, dilihat bakal menjadi azimat berguna buat Sri Pahang," kata kelab itu.

Sementara itu, Sri Pahang dilihat sedang memperkemaskan benteng mereka dengan membawa masuk Azrif yang bakal membentuk gandingan bersama Fadhli dan Syazwan.

"Selepas tujuh musim bersama JDT, Azrif yang turut mempunyai kap bersama skuad B-23 dan senior kebangsaan memilih untuk keluar dari zon selesa dan sudah bersedia menulis skrip baru dalam kariernya," kata Sri Pahang.

Pemain bek kanan itu mencipta nama bersama PKNS FC dan menjadi salah seorang tonggak utama skuad juara Piala Malaysia Selangor 2015.