Hentakan objek tumpul di kepala, punca kematian mangsa dera


Johor Bahru: Polis mengesahkan punca kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai didera di Senggarang, Batu Pahat, akibat hentakan objek tumpul di kepala.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, punca kematian itu diperoleh hasil daripada proses bedah siasat ke atas mayat mangsa yang selesai semalam di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

"Hasil bedah siasat yang dibuat secara teliti dan didapati bahawa punca kematian mungkin hentakan benda keras di kepalanya.

"Selain itu, terdapat kesan calar-calar dan gigitan yang ditemui pihak doktor. Bagaimanapun, kita akan menunggu laporan penuh hasil bedah siasat," katanya.

Kamarul Zaman berkata, sehingga kini juga seramai 10 individu sudah dipanggil bagi dirakam percakapan bagi membantu siasatan termasuk beberapa ahli keluarga.

"Kita merakam percakapan ahli keluarga dan beberapa saksi yang kita yakin dapat membantu siasatan dan akan ada lagi individu yang dipanggil untuk dirakam percakapan," katanya.

Beliau berkata, lima suspek termasuk kakak dan abang ipar mangsa yang sebelum ini ditahan reman sehingga Sabtu ini, akan disambung reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.