JOHOR BAHRU: Isu banjir di Segamat dan bandar raya ini sudah dikemukakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk mendapatkan penyelesaian demi kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata perkara itu dinyatakan kepada Perdana Menteri ketika lawatan rasminya ke negeri ini, semalam.
Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, isu banjir di Segamat dan Johor Bahru adalah isu mendesak yang akan diberi perhatian oleh kerajaan.
"Saya sempat mengangkat permasalahan berkaitan masalah banjir di Johor kepada Perdana Menteri hari ini dan kerajaan komited menyelesaikan isu mendesak ini.
"Kita tahu ada beberapa daerah tertentu berdepan risiko banjir contohnya di Segamat dan bandar raya Johor Bahru yang terdedah banjir kilat.
"Kementerian akan mencari penyelesaian banjir bukan sahaja di Johor malah di lokasi lain yang mendesak untuk diberi keutamaan dan dimasukkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentang Februari ini," katanya.
Akmal Nasrullah berkata, kerajaan juga akan meneliti permasalahan isu banjir dengan lebih teliti termasuk membabitkan projek tebatan banjir di kawasan PBT.
"Untuk projek tebatan banjir di PBT yang dipersetujui sebelum pilihan raya, projek sesuai akan diteruskan manakala ada yang memerlukan penelitian lanjut.
"Jika projek membabitkan tebatan banjir di PBT itu mendesak dan perlu dimasukkan ke dalam Bajet 2023, saya yakin kerajaan negeri akan mencadangkan ia kepada kerajaan Pusat.
"Bagi saya perlu isu mendesak seperti banjir wajar diberi pertimbangan khas," katanya.