KPKT fokus selesai projek sakit, terbengkalai dalam masa 5 tahun

Johor Bahru: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mengambil langkah untuk menyelesaikan projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada usaha itu terlebih dahulu memandangkan terdapat banyak projek-projek sakit dan terbengkalai itu membabitkan kediaman serta perumahan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, kementerian tidak akan mengenepikan pelaksanaan projek yang akan membawa pembangunan kepada negara pada masa akan datang.



"Sebelum saya dilantik sebagai Timbalan Menteri, saya sebenarnya sudah meneliti pelbagai isu berkaitan perumahan, malah sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru, isu perumahan antara yang diberikan tumpuan.

"Jadi, sememangnya isu projek sakit atau rumah yang berdepan masalah ini diberi tumpuan, malah kalau dilihat daripada pandangan menteri sendiri, beliau akan ambil inisiatif untuk merangka balik dasar perumahan negara.

"Itu (dasar perumahan negara) lebih ke hadapan, tetapi hakikatnya ketika ini pun masih banyak lagi rumah-rumah yang bermasalah," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pertemuan Penduduk Kim Teng Park di pusat bandar di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Perumahan pada minggu hadapan bagi meneliti isu-isu berkaitan kementerian selepas sesi Parlimen, esok.

"Minggu depan saya akan ada taklimat khusus dengan Jabatan Perumahan, kerana sebelum ini maklumat yang saya terima berhubung isu perumahan adalah atas kapasiti Ahli Parlimen, jadi saya rasa lebih elok diberikan peluang untuk meneliti dengan terperinci situasi semasa sebelum membuat perancangan.

"Ruang masa itu perlu untuk saya memahami perkara berkaitan daripada sudut pembuat dasar dan juga peringkat pelaksana supaya segala permasalahan bukan hanya dikenal pasti tetapi juga diselesaikan.

"Walaupun kementerian lebih memberi tumpuan kepada pembangunan persekutuan, namun kerjasama baik dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan perlu terus dijalin untuk menjayakan matlamat utama demi kesejahteraan rakyat," jelasnya.