Liga Super 2023 bermula 24 Februari


Kuala Lumpur: Pasukan Liga Super mempunyai tempoh menyiapkan pasukan kira-kira dua bulan apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan saingan pada musim depan bermula 24 Februari 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata, jadual membabitkan perlawanan Liga Super musim depan sudah disiapkan dan kini hanya menunggu maklum balas daripada pemegang taruh dan pihak berkaitan.

Beliau berkata, penyusunan jadual Liga Super pada musim depan lebih teliti berikutan perlu mengambil kira perlawanan Liga Simpanan (Reserve League) untuk memberi ruang dan peluang pasukan melakukan transisi pemain masing-masing.

"Perlawanan Liga Super pada musim depan akan bermula 24 Februari dan ketika ini pemantauan kalendar dilakukan kerana ia juga membabitkan saingan kelab di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Jadual sekarang ini sudah pun siap cuma tunggu maklum balas daripada pemegang taruh dan AFC serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Seperti sedia maklum, pada musim 2023 terdapat empat perlawanan membabitkan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara sekali gus memerlukan penyusunan jadual secara teliti," katanya.

Mengikut skuad kendalian E Elavarasan boleh dikatakan mengharungi jadual padat pada musim 2023 apabila akan menyertai sekurang-kurangnya empat kejohanan peringkat antarabangsa.

Antara kejohanan disertai mereka adalah kejuaraan AFF B-23 2023, Sukan Sea2023 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Berikutan itu, Elavarasan membuat persiapan awal dengan memanggil 25 pemain ke kem latihan pusat pertama bermula 27 November hingga 6 Disember lalu.

Selain itu, Stuart berkata, keputusan sama ada saingan Liga Super musim 2023 akan disertai 16 pasukan atau sebaliknya hanya akan diketahui pada Januari depan berdasarkan kepada dokumentasi dan pengesahan penyertaan daripada PJ City dan UiTM FC.

"PJ City dan UiTM PC sebelum ini meminta penangguhan pengesahan penyertaan hingga penghujung bulan ini bagi menyelesaikan beberapa perkara termasuk berkaitan dokumentasi," katanya.