Malaysia ada ramuan juara Olimpik - Nova


Kuala Lumpur: Selepas pemain beregu campuran negara berjaya mencipta sejarah di Sukan Olimpik Rio 2016 dengan meraih pingat perak melalui Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, kehadiran jurulatih baharu skuad beregu campuran negara, Nova Widianto mungkin akan meraih pencapaian lebih daripada itu.

Menurut pengendali kelahiran Indonesia yang tiba di Malaysia semalam, beliau mampu membawa pemain negara dalam acara itu ke satu tahap lebih tinggi termasuklah dalam misi memburu pingat emas Olimpik.

"Kualiti dimiliki barisan pemain beregu campuran Malaysia sekarang ini hanya memerlukan sedikit lagi sentuhan bagi membawa mereka mencapai kejayaan di peringkat tertinggi," jelas pengendali berusia 45 tahun itu yang di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Ujarnya, mungkin sekarang prestasi pemain beregu campuran negara sedikit menurun tetapi Malaysia pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016.

"Jadi, kita perlu berusaha sedikit lagi untuk mencapai emas. Sebelum ini, saya lihat apa yang menyukarkan Malaysia adalah mungkin disebabkan tiadanya sejarah kejayaan.

"Namun, sekarang dalam acara beregu lelaki pun kita sudah mempunyai juara dunia dan ini pastinya akan menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan pemain lain," katanya.

Tambah Nova, tiada apa yang mustahil, paling penting pemain harus yakin dan percaya dengan diri sendiri.

"Kalau kita mempunyai keinginan tinggi, saya percaya semuanya kita boleh lakukan," katanya yang hanya akan memulakan tugas secara rasmi pada 1 Januari ini.

Nova tiba di Malaysia dengan reputasi tinggi susulan pencapaiannya diraihnya selaku ketua jurulatih beregu campuran Indonesia sebelum ini termasuklah membantu pasangan Tontowi Ahmad-Liliyatna Nasir memenangi emas pada Sukan Olimpik Rio 2016 yang menyaksikan mereka menewaskan Peng Soon-Liu Ying di pentas final.

Ketika bergelar pemain, Nova dua kali muncul juara dunia beregu campuran bersama pasangannya Liliyana pada edisi 2005 dan 2007 selain mereka turut memenangi perak Sukan Olimpik Beijing 2008. Mengulas lanjut, Nova memberitahu pada peringkat awal ini fokus utamanya untuk membantu dua pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dia mengakui ia bukan tugas mudah apabila kedua-dua pasangan muda negara itu perlu bersaing dengan dua beregu profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

"Paling dekat adalah kelayakan ke Sukan Olimpik Paris, tidak mudah kerana pada peringkat awal ini pun sudah kalah dengan pasangan di luar berdasarkan kedudukan ranking dunia tetapi saya akan cuba terbaik untuk membantu mereka. Saya anggap ini cabaran untuk saya," katanya. Nova turut akan mengendalikan tiga lagi pasangan iaitu Choong Hon Jian-Yap Ling, Loo Bing Kun-Yap Cheng Wen dan Yap Roy King-Valeree Siow.