Piala AFF:Harimau Malaya tekad bermula cemerlang


KUALA LUMPUR: Berakhirnya Piala Dunia 2022 yang menobatkan Argentina selaku juara dunia di Qatar sekali gus menambah bintang ketiga di jersi, penyokong bola sepak khususnya di rantau ini tidak akan 'berehat' kerana saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 pula akan menjadi tumpuan.

Selepas 'meminjamkan' sokongan masing masing kepada pasukan lain, kini tiba masanya penyokong bola sepak ASEAN tidak terkecuali di Malaysia untuk memberikan sokongan kepada pasukan tanah air sendiri pada temasya yang dilabel 'Piala Dunia ASEAN' itu.

Tampil dengan jurulatih baharu, semangat baharu dan pemain 'baharu', skuad Harimau Malaya sudah pasti mahu bangkit daripada musibah edisi lalu dengan memperbaiki pencapaian pada edisi kali ini.

Menyoroti 13 edisi sejak penganjuran sulung Piala AFF, Malaysia memiliki rekod pembukaan yang boleh dianggap cemerlang apabila menang tujuh aksi daripada 13 perlawanan pertama - seri tiga dan juga kalah tiga perlawanan.

Ini bermakna skuad negara memenangi 53 peratus daripada keseluruhan aksi pembukaan dan mereka juga ketika ini belum kalah dalam empat edisi berturut-turut bermula 2014, 2016, 2018 dan 2020.

Mereka terikat 0-0 di tangan Myanmar pada aksi pembukaan edisi 2014 namun selepas itu menang hatrik menewaskan Myanmar 3-2 (2016), Kemboja 1-0 (2018) dan lawan sama 3-1 pada edisi lalu.

Bagi edisi kali ini, skuad bimbingan Kim Pan Gon yang menghuni ranking ke-146 dunia akan membuka kempen berdepan Myanmar yang berada di ranking ke-158 dunia di Stadium Thuwunna, petang ini (Rabu).

Berdasarkan sejarah, Myanmar sering kali menjadi pengacau khususnya buat pasukan kebangsaan kerana mereka bagaikan menjadi skuad yang berbeza apabila beraksi di pentas Piala AFF.

Malaysia dan Myanmar pernah bertemu sebanyak empat kali di pentas AFF dan statistik membuktikan betapa skuad dengan julukan Chinthe itu, begitu liat untuk skuad kebangsaan apabila kita hanya menang satu daripada empat aksi.

Dua daripadanya berakhir dengan seri dan satu tewas - menjadikan pertembungan malam ini menjanjikan satu aksi yang sengit dan tidak semudah yang dijangkakan.

Aksi pertama ini jelas amat mustahak kerana ia akan menetapkan 'mood' pasukan untuk keseluruhan kejohanan di mana pertandingan akan memberi motivasi terbaik buat pasukan.

Apatah lagi dengan adanya Vietnam dan Singapura yang turut mengintai dua slot ke separuh akhir dalam Kumpulan B, Malaysia tidak ada masa untuk keciciran mata menentang pasukan seperti Myanmar.

Kelebihan buat Malaysia adalah muka baharu pada edisi kali ini memberikan 'aura' misteri kepada Kemboja dan mereka juga mungkin perlu berteka-teki atas faktor ini.

Namun Malaysia perlu berhati-hati kerana Myanmar dimalukan Thailand 6-0 pada aksi sebelum ini, jadi mungkin mereka akan turun dengan semangat 'lain macam' tetapi tiada yang dimahukan selain tiga mata pertama buat Malaysia.