'Saya rayu supaya peka, ambil berat keselamatan kanak-kanak - Permaisuri Johor


Johor Bahru : Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah merayu kepada seluruh rakyat Malaysia supaya lebih peka dan mengambil berat akan keselamatan kanak-kanak.

Baginda bertitah, menjadi satu tanggungjawab besar kepada setiap masyarakat untuk melindungi kanak-kanak khususnya daripada menjadi mangsa dera.

"Sebagai seorang ibu dan juga nenek, saya bukan sahaja menyeru, bahkan merayu kepada seluruh rakyat Malaysia, supaya lebih peka dan ambil berat akan keselamatan kanak-kanak. Setiap nyawa, tidak ternilai harganya.

"Ada pepatah menyebut satu kampung diperlukan untuk membesarkan seorang kanak-kanak.

"Kanak-kanak mengharap dan memerlukan kita ahli masyarakat untuk menjaga keselamatan mereka. Janganlah kita lepas tangan sehingga terjadi penderaan berlarutan dan kehilangan nyawa.

"Kita semua ada peranan yang amat penting dalam masyarakat iaitu melindungi kanak-kanak dari didera. Tanggungjawab kita adalah amat besar," titah baginda.

Terdahulu, Baginda menerima mengadap Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat bagi menerima persembahan makluman mengenai fakta kes seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia disyaki didera di Senggarang, Batu Pahat.

Pertemuan itu berlangsung di Istana Bukit Serene di sini, hari ini dan turut dihadiri Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Datuk Amir Nasruddin dan Presiden Johor Women's League (JEWEL), Thanam Visvanathan-Suresh bagi menyampaikan pandangan dari sudut perundangan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Permaisuri Johor menzahirkan rasa sedih apabila menerima perkhabaran kes kematian kanak-kanak berkenaan.

"Sungguh memilukan hati saya mendengar penerangan daripada Datuk Ketua Polis, sehingga beliau sendiri menitiskan air mata.

"Ia mengingatkan saya kepada kes mendiang 'Baby Bala' pada 1990 yang turut membawa kepada penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001," titah baginda.

Baginda bertitah, berharap kematian kanak-kanak itu tidak sia-sia dan menjadi peringatan kepada masyarakat untuk lebih peka dalam melindungi golongan berkenaan.