Johor Bahru: Seorang pemandu lori maut selepas terperangkap dalam lori muatan pasir yang terjunam ke dalam parit di persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ibrahim di sini, semalam.
Rosnani Siam, 47, yang memandu lori seberat lebih 40 tan termasuk muatan itu terbabas merempuh tembok sehingga terjunam ke dalam parit yang terdapat air.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Jamal berkata, pihaknya terpaksa menggunakan kren seberat 350 tan bagi mengangkat lori pasir berkenaan keluar daripada parit terbabit.
Katanya, operasi rumit memandangkan permukaan lori pasir terbenam hampir empat meter di kawasan yang dipenuhi air.
"Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian ini pada jam 8.51 pagi sebelum 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, terdapat lori dengan muatan pasir terbabas dan jatuh ke dalam parit berair.
"Mangsa dijumpai terperangkap akibat timbunan pasir dan PKO menggunakan kren untuk menarik lori berkenaan keluar daripada parit.
"Kita turut menerima bantuan enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) dari BBP Skudai dalam operasi menyelamat dan air dalam parit terbabit ketika itu kira-kira dua meter dalam," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian berjaya dikeluarkan pada jam 8.08 malam iaitu selepas lebih 10 jam operasi dijalankan.
"Mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurut beliau, operasi yang membabitkan kekuatan keseluruhan 39 orang termasuk anggota BBP Larkin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan PPDA itu kemudian ditamatkan jam 8.45 malam.