KLUANG: Lebih 500 keluarga di Taman Saujana, di sini, terpaksa menghidu bau busuk, dipercayai campuran najis ayam dan babi yang dijadikan baja sebuah ladang buah naga berhampiran.
Ladang berkenaan terletak di kawasan bawah pencawang elektrik dan bersebelahan sebuah hospital swasta.
Pemandu ambulans hospital terbabit, Muhamad Azam Ali Ahmad, 35, dia pernah ke ladang berkenaan dan bertemu seorang lelaki dipercayai pemilik yang mengaku bau busuk itu datang dari campuran najis ayam dan babi, dijadikan baja untuk tanaman buah naga diusahakannya.
"Bau busuk ini sejak seminggu lalu hingga majikan minta saya siasat. Selepas mengambil gambar lelaki berkenaan dan ingin bertanya lanjut, dia bingkas meninggalkan lokasi," katanya.
Pemilik bengkel kereta, Ahmad Fauzi Mohamad Nor, 46, berkata bau busuk yang bertambah kuat menjelang hujan dan angin kuat membuatkan pelanggannya tidak selesa.
"Pelanggan pun mengadu dan jika masalah ini dibiarkan berterusan, saya khuatir perniagaan di sini terjejas," katanya menggesa pihak berkuasa berkaitan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.
Katanya, bau busuk itu menganggu aktiviti penduduk termasuk kariah surau, kakitangan dan pesakit hospital, pusat asuhan dan pemilik kedai di kawasan terbabit.
Pemilik kedai runcit, S Tatchayani , 28, berkata bau busuk juga menyebabkan kehadiran lalat di kedainya, terutama pada waktu hujan dan menyebabkan pelanggan tidak selesa.
"Saya berniaga di sini sejak November lalu dan ini kali pertama alami masalah pencemaran bau seperti ini. Saya mahu pihak berkuasa mengadakan pertemuan dengan pemilik ladang berkenaan dan jangan biar isu ini berlarutan," katanya.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Norliyati Md Nor ketika dihubungi, berkata pihaknya belum menerima aduan mengenai isu itu, namun memberi jaminan akan menyiasat.