Sementara itu, Rasman menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga terhadap keputusan ini apabila dapat menegakkan kebenaran bagi diri beliau.
"Saya bersyukur kerana keputusan ini dapat membersihkan nama baik diri saya dan keluarga.
"Saya bersyukur kerana masalah ini selesai kerana jika tidak nama saya tercalar dalam keadaan berpolitik sudah tiga penggal dan akhirnya saya tidak dapat bertanding.
"Apabila dituduh saya reda dan (dengan keputusan mahkamah) saya rasa nama baik saya dan keluarga sudah dikembalikan semula.
"Respon keluarga saya selepas diberitahu berita kemenangan ini masing-masing menelefon dan memberikan sokongan termasuk dalam kalangan besan dan menantu," katanya.
Beliau berkata, tidak menyimpan dendam terhadap pemfitnahnya dan sebagainya kerana tiada siapa yang tahu pihak yang menjadi dalangnya.
"Selepas ini saya akan teruskan semula kehidupan tanpa rasa tekanan dan akan kembali semula ke dunia politik," katanya.
Beliau berkata, menganggap kes ini sebagai suatu siri ujian terhadap beliau dan keluarga, namun akan terus komited dalam berbakti kepada rakyat.
Rasman sebelum ini adalah ADUN Sedili yang berkhidmat selama tiga penggal sejak 2008 sehingga 2022.
Beliau tidak bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dan Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
Untuk rekod, sepanjang perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan mengemukakan empat orang saksi.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Bin Tengku Abdul Rahman bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos.
Manakala Rasman diwakili peguam bela, Muhammad Mohd Nasir, Muhammad Izzad Syafiq Ismail dan Mohamad Alias Rasman.
Terdahulu, Rasman mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, Januari tahun lalu.
Tertuduh berusia 54 tahun yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kota Tinggi, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, Rasman didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun, dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan.