Dua sahabat maut, dua cedera akibat kereta terbabas di Plaza Tol Lima Kedai


Iskandar Puteri: Dua daripada empat sahabat maut selepas kereta yang dinaiki terbabas di Plaza Tol Lima Kedai di sini pada awal pagi semalam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Ronnie Robert berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 pagi.

Beliau berkata, seramai 14 anggota dari BBP Iskandar Puteri dan BBP Skudai dibantu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Iskandar Puteri serta BBP Skudai ke tempat kejadian.

"Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbabas.

"Pihak bomba bertindak membuat kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu dan mengeluarkan kesemua mangsa," katanya.

Beliau berkata, dua mangsa mengalami kecederaan dan diserahkan kepada pegawai perubatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi selesai pada jam 6.10 pagi," katanya.

Mangsa mengalami kecederaan, R Shantihasheelan, 26, dan R Kohlilan, 29 manakala mangsa maut adalah E Thiban, 25 dan A Taniesrao, 30.