Pontian: Bomba mengambil masa hampir lima jam untuk memadam kebakaran blok rumah pekerja di Kampung Sungai Dinar, Kukup, di sini, semalam.
Kebakaran membabitkan kediaman tiga blok jenis separuh kekal dengan setiap satu berkeluasan 30 meter panjang dan 10 meter lebar.
Komander Operasi yang diketuai Mahadir Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.56 petang.
"Usaha memadam kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba dan Penyelamat (PBP) Jalan Alsagoof, Pontian, Rengit Batu Pahat; Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) Permas Kukup dan anggota penyelamat dari sebuah syarikat petroleum (ATTB) Kukup.
"Seramai 25 anggota dan lima jentera terbabit dalam operasi dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 11.53 malam.
"Api merebak dengan begitu cepat, dan blok kediaman itu musnah 90 peratus.
"Seramai 32 pekerja di beberapa syarikat swasta yang menghuni rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri.
"Tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan, " katanya.