Polis Batu Pahat tahan 5 ceti haram dipercayai khianat bakar SUV


BATU PAHAT: Polis menahan lima ahli sindiket pinjaman wang tanpa lesen yang dipercayai terbabit dalam perbuatan khianat api dengan membakar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di sebuah taman perumahan di sini pada 14 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata suspek terdiri daripada tiga lelaki, seorang wanita warga tempatan dan warga asing yang berumur dalam lingkungan 31 hingga 62 tahun.

Katanya, semua suspek direman selama enam hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Pada 14 Disember lalu, lebih kurang jam 4.30 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima satu laporan yang menyatakan kenderaan pengadu seorang lelaki berusia 40-an yang sudah dibakar.

"Perbuatan berkenaan dipercayai dilakukan oleh sindiket peminjam wang tanpa lesen ataupun ceti haram kerana terdapat satu notis yang ditinggalkan supaya membayar hutang.

"Anak saudara pengadu yang berhutang dan menghilangkan diri tetapi menggunakan alamat mangsa untuk membuat pinjaman dengan ceti haram atau along terbabit," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, semua suspek ditahan pada 24 Disember lalu dengan hasil bantuan IPD Brickfield dan mereka diserahkan kepada IPD Batu Pahat semalam.

"Pihak polis juga turut merampas kenderaan yang digunakan suspek, buku nota, cat berwarna merah, sebotol air mineral yang mengandungi cecair disyaki petrol dan kad akaun bank tempatan yang digunakan dalam melakukan jenayah," katanya.

Beliau berkata, pihak IPD Batu menjalankan siasatan untuk mengesan saki baki saspek dan pembabitan mereka dalam kes lain di daerah ini.

"Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.