Riyadh: Bintang Portugal Cristiano Ronaldo tiba di Riyadh menjelang majlis memperkenalkannya di hadapan puluhan ribu penonton di kelab Al Nassr susulan perpindahan mega bernilai lebih 200 juta euro (RM940 juta).
Pemenang lima kali Ballon d'Or berusia 37 tahun tiba awal pagi tadi, menurut stesen televisyen Al Ekhbariya dan menginap di hotel mewah bersama delegasinya.
"Dia membawa bersama sebilangan besar pembantu malah firma keselamatan persendirian," kata pegawai kepada AFP.
Kawalan keselamatan diperketatkan sekitar lapangan terbang dengan pertambahan anggota polis di beberapa pintu masuk.
Ronaldo yang meninggalkan Manchester United susulan wawancara kontroversi di televisyen bakal tampil di Stadium Mrsool Park berkapasiti 25,000 tempat duduk pada jam 7 malam hari ini, menurut pegawai.
Perpindahan di kelab Al Nassr yang mungkin juga terakhir dalam karier gemilangnya hadir selepas beberapa minggu Portugal tersingkir di Piala Dunia Qatar yang menyaksikan 'musuh ketat' sekian lama, Lionel Messi menjulang trofi bersama Argentina.
Kejayaan mendapatkan Ronaldo yang mengikat kontrak sehingga Jun 2025 adalah satu lagi pembabitan terkini Arab Saudi dalam sukan berprestij selepas Formula Satu, tinju dan golf selain menguasai Newcastle United.
Al Nassr menjangkakan penonton bakal memenuhi stadium ketika acara perkenalan Ronaldo, menurut pegawai yang enggan identitinya didedahkan.