Kuantan: Melakar kejayaan bersama Sri Pahang (SPFC) menjadi misi utama digalas penjaga gol muda, Izham Tarmizi Roslan yang beraksi dengan skuad Pantai Timur itu.
Tegas bekas pemain kebangsaan itu, dia memilih Sri Pahang FC musim ini selepas mendapat nasihat daripada pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Tunku nasihatkan saya supaya memilih Pahang musim ini dalam usaha menimba lebih banyak pengalaman bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) yang kini semakin mencabar.
"Saya hanya mengikut cadangan diberikan Tunku yang mungkin telah menilai sejauh mana skuad Sri Pahang FC musim ini," katanya ditemui selepas menjalani latihan di padang Taman Gelora, di sini semalam. Katanya, selepas beberapa minggu menjalani latihan bersama Sri Pahang FC, keserasian semakin dapat dirasai bersama barisan pemain lama dan baharu Tok Gajah yang tidak kurang hebat dari segi prestasi.
Izham berkata, dia akan berusaha sedaya upaya untuk merebut posisi penjaga gawang Sri Pahang FC musim ini, pengalaman sebelum ini tidak bermakna dia tidak perlu bekerja keras merebut posisi utama.
"Saya tidak pernah menganggap saya sebagai pemain bertaraf bintang, kami semua dalam kalangan penjaga gol sama taraf dan peluang mengisi posisi penjaga gawang terbuka.
"Siapa yang prestasi terbaik layak terpilih pada setiap perlawanan. Saya berharap Sri Pahang FC yang membariskan pemain terbaik musim ini dapat mencipta kejayaan diharapkan. Sokongan peminat diharap menambahkan lagi semangat pemain," katanya yang berbangga dapat bersama skuad Tok Gajah musim ini.