PUTRAJAYA: Negara ini mempunyai vaksin COVID-19 yang mencukupi tetapi banyak yang terpaksa dilupuskan kerana kurang sambutan daripada rakyat untuk mengambil dos penggalak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata lebih 49 peratus orang ramai sudah melengkapkan pelalian mengambil dos penggalak dan ketika ini, bekalan vaksin masih ada kira-kira enam juta dos.
"Jadi saya syorkan, bermula dengan wartawan yang belum ambil dos penggalak untuk ambil kerana mengikut unjuran dan kajian Kementerian Kesihatan (KKM), jangkitan ini belum tamat.
"Jadi jika begitu, yang sudah ambil dos pertama dan kedua, harus mengambil dos penggalak kerana vaksinnya masih ada," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri,semalam.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan hanya 49.8 peratus rakyat Malaysia mendapatkan dos penggalak pertama dan 1.9 peratus saja sudah mengambil dos kedua.
Pada Disember lalu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi kelulusan bersyarat untuk vaksin COVID-19 Pfizer yang dikemas kini.
Vaksin baharu itu dijangka dapat memberi perlindungan lebih baik terhadap subvarian BA.5 Omicron, walaupun prestasinya dengan varian baharu seperti XBB dan BQ.1 masih dikaji.