Warga emas, kanak-kanak melecur rumah terbakar di Taman Gembira,JB


JOHOR BAHRU: Seorang warga emas dan seorang kanak-kanak melecur selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian di Taman Gembira di sini, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Shamsul Khomari Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian tersebut pada jam 5 pagi.

Beliau berkata, mangsa berusia 70 tahun dan kanak-kanak 10 tahun melecur tahap satu manakala mangsa wanita 30 tahun mengalami cedera di muka akibat serpihan kaca tingkap.

"Susulan itu seramai 19 anggota dari BBP Larkin dan BBP Tebrau dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal berkeluasan kira-kira 1.4 x 6.5 meter telah terbakar 60 peratus. Terdapat tiga mangsa yang cedera dan melecur semasa kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shamsul Khomari berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi menyelamat mangsa selesai pada jam 6.35 pagi.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI)," katanya.