Johor Bahru: Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah supaya kerajaan melihat kemungkinan untuk menubuhkan jabatan khas bagi menangani isu kanak-kanak termasuk penderaan dan buli di sekolah.
Baginda bertitah Akta Kanak-Kanak perlu diperkukuhkan dengan peruntukan perundangan supaya tindakan yang lebih proaktif dan agresif boleh diambil.
"Salah satu perkara utama lagi yang mesti diberi perhatian adalah peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang perlu dikemas kini untuk perkhidmatan yang lebih berkesan.
"JKM pada masa kini amat terbeban dengan aduan keluarga yang memerlukan bantuan, termasuk ketika bencana seperti banjir atau kebakaran rumah dan mungkin sebuah jabatan kerajaan khas boleh ditubuhkan khusus untuk menangani isu kanak-kanak termasuk penderaan, buli di sekolah dan lain-lain," titahnya menerusi Facebook (fb) The Royal Johor.
Baginda bertitah, mungkin terdapat kelemahan sehingga mengakibatkan penderaan yang begitu menyayatkan hati seperti kes membabitkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang maut akibat didera di Johor.
"Di manakah kelemahan di dalam sistem kita sehingga penderaan yang begitu dahsyat seperti kes Allahyarham ini boleh berlaku?
"Mungkin ada pelbagai faktor namun di sinilah peranan yang perlu dimainkan oleh pihak berkuasa bagi memperbaiki situasi ini.
"Mungkin ramai dalam kalangan rakyat yang tidak menyedari saluran yang sepatutnya mereka gunakan dalam kes-kes membabitkan kanak-kanak.
"Terdapat juga isu defisit kepercayaan ke atas keberkesanan laporan yang diutarakan kepada pihak berkuasa sama ada tindakan susulan mereka berkesan atau tidak dalam memastikan persekitaran yang sebaiknya bagi melindungi mangsa," titahnya.
Baginda turut terkenang kes kejam yang menimpa kanak-kanak seperti Allahyarhamah Nurul Huda Abdul Ghani pada tahun 2004 dan Allahyarhamah Nurul Nadirah Abdullah (Dirang) pada 2012.
"Kes Allahyarham (membabitkan kanak-kanak berusia empat tahun yang maut didera baru-baru ini) mengingatkan saya kepada kepiluan dan kesedihan tragedi lalu seperti yang berlaku kepada mereka.
Baginda berharap semua pihak berkaitan mengambil langkah menambah baik sistem perlindungan kanak-kanak.
Baginda bertitah demikian menerusi suatu pertemuan bersama beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Istana Polo, Pasir Pelangi semalam.
Menerusi pertemuan berkenaan baginda berkenan menerima mengadap Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu dan Pengarah JKM Johor, Mohamad Hapil.
Turut berangkat sama bagi menyampaikan pandangan, isteri Tunku Mahkota Johor, Che' Puan Khaleeda Bustamam.